• Categories

  • Archives

Berita JMB

Kerjasama dengan JMB jamin bangunan terurus

KAJANG 20 April – Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meminta pembeli dan pemaju memberikan kerjasama kepada Perbadanan Pengurusan Bersama (JMB) yang dilantik bagi memastikan bangunan yang diduduki terurus.

Yang DiPertuanya, Datuk Hasan Nawawi Abd. Rahman berkata, ini sejajar dengan arahan supaya setiap bangunan kediaman dan komersial melantik JMB masing-masing bagi membolehkan mereka menyenggara dan menguruskan bangunan dan harta bersama.

Menurutnya, JMB yang dilantik dengan persetujuan pembeli dan pemaju akan mempunyai bidang kuasa tertentu dalam menguruskan bangunan tersebut seperti yang termaktub di bawah Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan Bangunan) 2007 atau Akta 663.

Ujarnya, selepas pelantikan itu, segala masalah yang melibatkan pengurusan akan dipertanggungjawabkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) untuk mengendalikannya.

“Pelantikan JMC ini hanya melibatkan pemilik kediaman dan bukannya penyewa serta kediaman yang mempunyai hak strata sahaja.

“Sekiranya selepas ini penghuni tidak mahu bekerjasama untuk menjelaskan kos penyenggaraan, mereka boleh dikenakan tindakan.

“Jika penghuni gagal menjelaskan tunggakan selama enam bulan bagi kos penyelenggaraan, kediaman mereka akan dilelong,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sijil pelantikan JMB kepada 10 wakil penduduk.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MPKj, Abdullah Marjunid dan Ketua Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB), Bibi Khairani Mohamed Sabri.

Utusan 21/04/2008

Penduduk tidak jelas tunggakan, mesyuarat ditangguh 23 Mac

AMPANG Hasrat penduduk Pangsapuri Riveria 2, di sini, untuk menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) tidak kesampaian apabila kebanyakan daripada mereka masih belum menjelaskan tunggakan sehingga 31 Januari lalu.

Antara syarat yang membolehkan penduduk menjadi jawatankuasa dalam JMB ialah mereka perlu menjelaskan semua tunggakan yang ada.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee, berkata, masalah tersebut timbul kerana penduduk tidak mendapat maklumat yang tepat tentang syarat-syarat yang diperlukan bagi membolehkan mereka menubuhkan JMB.

“Penduduk juga ada menyuarakan masalah tentang tidak puas hati dengan pemaju yang tidak menjalankan perkhidmatan dengan baik.

“Namun, untuk mengelakkan pertelingkahan yang lebih buruk berlaku, saya telah meminta supaya pemaju melanjutkan tarikh mesyuarat penubuhan JMB kepada satu tarikh yang sesuai, sehingga penduduk menjelaskan tunggakan mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jenice juga telah meminta penduduk supaya menjelaskan tunggakan yang ada supaya mereka layak menjadi jawatankuasa dalam JMB.

Menurut beliau, JMB iaitu satu badan yang terdiri daripada pembeli dan pemaju yang bertanggungjawab untuk menyelenggara dan menguruskan harta bersama.

“JMB akan diberi kuasa untuk membuat apa sahaja keputusan berkaitan pengurusan bangunan dan adalah penting untuk penduduk yang membuat keputusan itu sendiri berbanding melantik syarikat lain.

“Saya berharap penduduk dan pemaju akan sepakat dalam membuat keputusan untuk kebaikan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Jenice memberitahu tarikh untuk mengadakan mesyuarat penubuhan JMB telah ditetapkan pada 23 Mac ini.

Utusan 15/3/2008

Ahli Jawatankuasa JMB Pangsapuri Damai Mewah B

Catatan oleh ephol pada 5/12/2008 11:16:00 AM

Mesyuarat Penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) telah berjaya diadakan dgn keadaan tenang dan aman pada pagi semalam (Ahad 11 Mei 2008′) hasil kawalan yg baik dari pihak-pihak terbabit. Terima Kasih pada pihak polis yg menghantar beberapa anggota beserta sebuah Balai Polis Bergerak untuk memantau mesyuarat tersebut.

Proses pemilihan dan pengundian berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yg tidak diingini. Seramai 15 orang telah dicalonkan dan majoriti penduduk bersetuju untuk memilih 12 orang untuk menganggotai JMB. Proses pengiraan undi telah dipantau oleh wakil dari COB MPKj, peguam dari pihak pemaju dan peguam/penasihat undang-undang dari pihak PPPDMB.

Berikut adalah Ahli Jawatankuasa JMB Pangsapuri Damai Mewah B yg telah dipilih oleh majoriti penduduk Pangsapuri Damai Mewah B:

Shahizan Bin Md Noh (B-13-16)
Khairulfitri Shafie (A-06-01)
Mohamad Zuki Ibrahim (C-03-23)
Lim Chin Peng (C-03-31)
Rozman Bin Mat Hazin (B-11-21)
Lai Ngan Sing (B-10-16)
Mohamad Faezal Omar Baki (B-16-19)
Rozylawati A Rahman (B-03-17)
Hasmadi Halim (B-06-19)
Shuhaili Bte Shamsudin (B-03-18′)
Gomathy Sethuraman (C-13-27)
Mohd Saiful Jamaluddin (B-13-20)
Selepas pelantikan AJK, agenda-agenda lain telah ditangguhkan kerana AJK yg telah dilantik harus menyemak dan mengkaji segala dokumen-dokumen berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan. Segalan keputusan akan diberitahu pada mesyuarat yg akan ditetapkan tarikhnya kemudian.

KECOH MESYUARAT JMB

Harian Metro, 17/3/2008

Harian Metro, 17/3/2008

Kesal mesyuarat pada hari bekerja

Oleh: NUR AZWA IBRAHIM

RAWANG 7 Mac – Penduduk di perumahan bertingkat Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, di sini, mempersoalkan tindakan pemaju yang mahu mengadakan mesyuarat pertama bagi membentuk Badan Pengurusan Bersama (JMB) pada hari bekerja.

Menurut mereka, tindakan itu adalah taktik kotor pemaju yang tidak mahu penduduk hadir pada mesyuarat tersebut, sekali gus menafikan hak penduduk untuk menjadi ahli jawatankuasa dalam JMB.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bunga Raya, Ismail Mat Noor berkata, jika penduduk tidak hadir dalam mesyuarat tersebut, pemaju akan melantik syarikat lain sebagai JMB yang akan mewakili penduduk di situ.

“Tindakan tersebut tidak adil kerana syarikat yang dilantik itu tidak memahami keperluan penduduk di sini.

“Tambahan pula, penduduk juga tidak mempunyai kuasa untuk membantah sebarang tindakan yang dibuat oleh syarikat itu nanti,’’ katanya ketika ditemui semasa sesi dialog penduduk Taman Bunga Raya dengan agensi kerajaan bagi membincangkan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2007 di sini baru-baru ini.

Agensi kerajaan yang hadir dalam sesi dialog itu adalah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Seorang penduduk, Mohd. Fadhil Mohd. Jumah berkata, hampir separuh daripada penduduk di Apartment Kemuning tidak menerima notis mesyuarat pertama tersebut walaupun pemaju mendakwa mereka telah menghantarnya.

“Penduduk yang menerima notis pula menyatakan mesyuarat akan diadakan pada 10 Mac iaitu hari Isnin dan satu lagi pada 21 Mac iaitu hari Jumaat.

“Adakah ini satu perangkap daripada pemaju untuk menipu penduduk iaitu dengan menyatakan mereka telah menghantar notis tetapi penduduk yang tidak hadir?,’’ katanya.

Penduduk Apartmen Mawar, Mohd. Rizal Mohd. Anuar berkata, penduduk keliru dan curiga dengan tunggakan yang dikenakan sedangkan tiada sebarang perkhidmatan yang dilaksanakan oleh pemaju.

“Kami mahukan keadilan kerana jika kami mahu menyertai mesyuarat itu, kami perlu menjelaskan tunggakan bayaran atas perkhidmatan yang tidak pernah kami terima.

“Caj bayaran penyelenggaraan juga tidak diseragamkan dan oleh itu, saya minta COB menyiasat perkara ini,’’ katanya.

Wakil LPHS, Azlina Ismail berkata, menerusi akta itu, pemaju wajib menubuhkan JMB iaitu satu badan yang terdiri daripada pembeli dan pemaju yang bertanggungjawab untuk menyelenggara dan menguruskan harta bersama.

“Sepatutnya pemaju mengadakan mesyuarat pertama pada hujung minggu iaitu pada hari Sabtu atau Ahad kerana mereka perlu mengambil kira penduduk yang bekerja.

“Kedatangan penduduk adalah penting kerana ia melibatkan hak mereka dan oleh itu saya menasihatkan pemaju supaya menukarkan tarikh yang telah ditetapkan kepada satu tarikh yang sesuai,’’ katanya.

Tambah beliau, menerusi JMB, penduduk akan diberi kuasa untuk menetapkan caj perkhidmatan, memastikan bangunan diinsurankan dan menentukan kadar denda lewat bayar.

Arkitek MDHS, Abd. Wahab Abd. Hamid berkata, sebelum mengadakan mesyuarat pertama, pemaju perlu mengemukakan akaun yang telah diaudit kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB).

“Tarikh tutup untuk mengemukakan akaun tersebut telah tamat, namun atas budi bicara tarikh itu dilanjutkan sehingga April ini,’’ katanya

Menurut beliau, pemaju yang tidak berbuat demikian boleh didenda sehingga RM20,000.

“Penduduk juga perlu menjelaskan semua tunggakan bayaran sekiranya mereka mahu menyertai mesyuarat pertama tersebut.

“Ia bertujuan untuk memastikan hanya mereka yang bertanggungjawab sahaja akan dilantik menjadi jawatankuasa dalam JMB,’’ katanya.

Berkenaan tunggakan bayaran, beliau menjelaskan penduduk boleh menyemak penyata akaun pemaju dan jika terdapat kekeliruan, penduduk boleh membuat aduan kepada COB.

Hasil daripada mesyuarat tersebut, Persatuan Penduduk Taman Bunga Raya, LPHS dan MDHS sepakat menetapkan supaya pemaju mengubah tarikh mesyuarat pertama yang telah ditetapkan kepada tarikh yang sesuai iaitu sebelum 12 April depan.

Utusan 8/3/2008

Pemaju wajib tubuh JMB sebelum 11 April

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

PANDAN PERDANA 18 Feb. – Semua pemaju rumah bertingkat di Selangor dikehendaki menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebelum 11 April ini, kata Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Datin Paduka Alinah Ahmad.

Beliau berkata, penubuhan JMB penting kerana ia akan membolehkan pemaju dan pembeli bekerjasama dalam menyenggara dan mengurus bangunan dan harta bersama.

Menurutnya, JMB mempunyai tanggungjawab dan kuasa yang telah ditetapkan oleh undang-undang dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Penubuhan JMB adalah di bawah peruntukan Subseksyen 4(1) Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan Dan Pengurusan Bangunan) 2007.

“Akta ini merangkumi penyenggaraan dari aspek keselamatan, kebersihan, penggunaan harta benda bersama, penjagaan unit individu serta kerja-kerja penambahan dan pengubahsuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat Bersama LPHS di Pangsapuri Pandan Perdana di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Teratai, Yap Soo Sun.

Alinah seterusnya berkata, ahli-ahli JMB terdiri daripada pemaju dan pembeli rumah yang berperanan mewujudkan kawasan perumahan yang bersih dan harmoni.

Selain itu, katanya, mereka juga bertanggungjawab untuk menyenggara harta bersama dan menentukan caj yang dikenakan kepada pemilik rumah serta berkuasa mengutip caj tersebut.

Katanya, sekiranya pemaju tidak menubuhkan JMB atau mengadakan mesyuarat memilih jawatankuasa JMB, mereka boleh didakwa di mahkamah di bawah Subseksyen 5(5) akta tersebut.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

“Jika masalah tersebut berlaku, Pesuruhjaya Bangunan (COB) iaitu yang dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil alih tanggungjawab bersama pemilik untuk menyenggara kawasan kediaman serta melantik ejen pengurusan,” jelasnya.

Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan yang Pangsapuri Pandan Perdana akan dicat melalui peruntukan kerajaan negeri bagi menceriakan perumahan bertingkat di negeri Selangor.

“Keempat-empat blok pangsapuri ini akan dicat semula dan kerja-kerja pembersihan dinding akan dimulakan pada minggu depan. Saya harap selepas ini penduduk bersama-sama menjaga kebersihan dan keindahan pangsapuri ini demi keselesaan semua pihak,” ujarnya.

Leave a comment